Monday, January 23, 2012

Adakah Kampung Tian Itu Indah?

Soalan aku tentang tajuk entri kali ini adalah idea apabila aku bercerita tentang kenangan musim banjir di kampung sebelum ini. Malahan sejak berada di sekolah menengah, aku dan rakan-rakan memang sudah sedia maklum dengan isu yang ingin aku kongsikan kepada warga kampung sekelian. Tapi seperti biasa, aku rasa aku hanyalah seorang anak watan yang bukanlah boleh membuat perubahan dan bukanlah anak watan yang layak untuk mengubah persepsi dan pandangan warga kampung Tian. Tapi aku hanya generasi muda yang nampak apa yang perlu diubah dan nampak apa yang perlu untuk membangunkan kampung. Persoalan tentang isu layak dan tidak layak itu adalah subjektif dan ianya sama seperti tajuk entri Adakah Kampung Tian itu Indah? Cuba perhatikan gambar-gambar yang menarik berikut dari sudut pandangan yang tersendiri, indah dan menyejukkan mata memandang kan?

Geretek @ Jambatan Belian menjadi nadi pergerakan zaman berzaman

Pemandangan Kampung dari Aras Tinggi

Sudut Pandangan Menarik Kampung. KLIK SUMBER

Sebenarnya jawapan untuk persoalan aku di sini adalah sesuatu yang boleh warga kampung Tian bayangkan sendiri, terpulang untuk melihat dari sudut mana dan dari aspek mana pandangan dan jawapan tersebut. Kenapa aku masih teragak-agak untuk membincangkan isu ini dari sudut yang ingin aku sampaikan dan kenapa aku masih membincangkan melalui timbang tara yang mungkin satu idea kosong atau satu idea yang tidak boleh diterima dengan akal yang waras oleh warga kampung. Apabila diambil dari sudut gambar yang tepat dengan kemahiran yang baik, gambar yang dihasilkan adalah sangat indah dan jangan lak suka-suka nak umumkan gambar yang kita ambil dari internet tu kita punya. Tengok setiap gambar terutamanya gambar 1 dan 2, ia adalah gambar biasa berbanding gambar ke-3 yang aku sertakan sumbernya. Malahan aku dah cerita tentang keindahan kampung Tian melalui lensa kamera beliau dalam blog peribadi sebelum ini. Anda boleh baca dan nilai melalui pengalaman sendiri di SINI

Apabila dibandingkan dengan lensa kamera sudut pandangan mata manusia, ia adalah jauh berbeza kerana dengan lensa kamera kita sebenarnya seperti membuat lukisan dengan cahaya. Kemahiran seseorang jurugambar akan menghasilkan sudut pandangan yang menarik untuk pemandangan kampung Tian dan kita akan dapat menikmati dan mungkin boleh berbangga dengan keindahan tersebut. Tetapi mata manusia tidak akan berbohong dan sudut pandangan mata manusia adalah unik dengan kapasiti hampir 180 darjah dan memenuhi ruang sekiranya kita menggerakkan badan dan tengkuk. Oleh yang demikian, aku sudah nyatakan bahawa tulisan aku kali ini mengambil 2 sudut pandang iaitu dari lensa kamera dan mata manusia yang jarang menipu. Semua warga kampung Tian sudah sedia dan arif tentang keadaan kampung melainkan korang malas nak berjalan di segenap ceruk kampung padahal dengan berjalan 10 ribu langkah sehari manusia boleh menjadi sihat tanpa ada senaman dan sebagainya.

Kemudian apabila bercerita tentang perkara yang kurang menarik tentang kampung Tian, mungkin bagi aku adalah sesuatu yang boleh dianggap kurang menarik dan mungkin boleh menyentuh sensitiviti sesiapa sahaja dan mungkin boleh mengundang kontroversi. Tapi terpulang kepada anak watan kampung Tian untuk menjawab soalan aku iaitu "adakah kampung Tian ini indah dari sudut pandangan anda"? Tak kiralah dari sudut lensa kamera anda mahupun mata anugerah ALLAH SWT yang tidak ternilai. Kampung Tian dengan kapasiti penduduk yang mencecah angka 4000 orang sudah sedia diketahui umum latar belakang penduduk yang sangat-sangat berbeza. Malahan sudut pandangan dan cara melihat kampung pun sudah berbeza, sebab itu aku masih lagi membuat timbang tara tanpa menulis ikut sedap tangan aku menaip. Kalau ikutkan jari jemari aku yang sudah biasa pegang kapak semasa musim membalak dahulu, mahu sahaja aku menaip sesedap rasa hahahahahahahahahahaha. Jadi lupakan kenangan lama zaman masyarakat kampung Tian yang terkenal dengan gelaran pembalak, cuba nilai perbincangan facebook ringkas berikut:

Artikel aku sebelum ini dan memberi idea kepada aku melalui komen saudara Othman Yusof

Aku minta gambar dan penuh dengan komen ntah, tapi apa saudara Jamel nyatakan memang tepat

Apakah maksud "KAPER" yang dinyatakan oleh dua anak watan kampung Tian yang sudah lama mencari rezeki di tempat orang di atas. Jangan lak korang buat-buat tak faham kerana selagi boleh menggunakan talian internet atau bersembang di laman sosial Facebook... aku rasa anak watan Tian pasti boleh membaca. Cuma kalau dah jadi Melanau kacang soya (kacang lupakan kulit) tu apa boleh buat kan kerana istilah tersebut adalah terlalu "rare" dan unik mengikut fahaman masyarakat Melanau Tian. Mungkin lain istilah jika digunakan oleh penduduk kampung lain dan aku akui aspek tersebut walaupun sudah lebih sedekad merantau di tempat orang. Sebab itu blog ini aku selalu minta gambar yang asli bukannya gambar aku cari kat internet. berbalik kepada istilah yang aku suka lihat tersebut, istilah tu bukan kapir atau tapir atau napir atau sebagainya. istilah tu merujuk kepada sampah yang hanyut semasa musim banjir. Siapa yang buang? Siapa yang hasilkan? Takyah jawab soalan tu, tu semua orang sedia maklum... sudah berlaku sejak berdekad lalu dan jangan lak korang cakap korang tak terlibat. Tengok keindahan sungai kampung Tian berikut tanpa ada kewujudan bendasing dipermukaannya. Tapi cuba bandingkan dengan pandangan mata anda satu ketika dulu atau sekarang atau akan datang? Jawapan sendiri yang tahu lah kan.

Adakah pemandangan ini akan dapat diwarisi oleh anak cucu kemudian hari?


Potongan Rumbia yang menjadi antara hasil ekonomi walaupun kurang menyerlah

Kampung Tian memang indah, keindahannya boleh dirakam dengan lensa kamera sesiapa sahaja, boleh dirakam dengan video, dan boleh dirakam dengan mata sesiapa sahaja. Malahan kenangan musim banjir adalah antara pemandangan indah yang tidak akan hilang dalam lipatan memori aku sebagai anak watan kampung. Kadangkala apabila jauh di perantauan, aku suka mengenang kembali setiap memori tersebut secara tidak langsung melalui perbualan dengan rakan-rakan mahupun semasa melihat syiling rumah sebelum tidur malam. Setiap anak watan Tian mempunyai versi yang tersendiri kerana aku yang duduk di bahagian paling hulu kampung pasti jauh bezanya dengan yang duduk di bahagian paling hilir kampung. Cuma aku yang kaki lepak sejak zaman sekolah menengah sudah mengelilingi segenap ceruk kampung dan aku rasa aku nampak betapa jauhnya perbezaan dalam ruang lingkup kampung Tian ini.

Tidak aku nafikan dari sudut pandangan mata seperti yang telah jelaskan sebelum ini, terdapat perbezaan yang nyata dan kalau siapa tidak akuinya, aku rasa orang itu mungkin rabun benda kot (adakah istilah ini?). Lantaklah kan, kalau ada orang tak nampak dan kalau ada orang rasa apa yang aku risaukan ini sebagai satu picisan sahaja.... terpulanglah. Kan sungai kampung Tian tu akan nampak indah apabila musim banjir dan kan aku tak duduk di bahagian hilir sungai... peduli apa kan. Tapi kalau ada konsep yang aku rasakan sebagai hegemoni yang sudah berkarat dalam kepala generasi demi generasi di kampung Tian, apa yang aku rasa sebagai masalah ini tidak akan berakhir. Malahan bukan tugas aku untuk mengubahnya, jauh sekali untuk menyelesaikannya. Sekadar membuka cerita apa yang patut diubah supaya generasi akan datang boleh melihat warga kampung Tian yang sudah matang dalam pelbagai aspek, bukannya generasi yang sudah leka dan parah untuk diubah.

Memang kampung Tian bagi aku indah walaupun penduduknya mempunyai perbezaan gaya hidup, sedikit perbezaan loghat, perbezaan sudut pandangan, perbezaan cara berfikir, perbezaan dan perbezaan dan perbezaan. Tapi sampai bila masalah pembuangan sampah akan berakhir? Memang ada pakcik dan anak muda yang memungut sampah awal pagi dengan menarik atau menolak tong hijau besar milik MDMD melalui tender yang bukan sedikit hasilnya... tapi sepanjang pengetahuan aku, sangat sedikit isu-isu berkaitan dengan kesedaran tentang pembuangan sampah ini diwar-warkan. Malahan semasa gotong-royong membersihkan sungai pun sering melibatkan usaha yang tidak bertahan lama seperti gotong royong membersihkan tanah perkuburan kampung. Apa yang bertahan? Budaya yang bagi aku tidak perlu dijelaskan di sini kerana ianya bukanlah boleh dibanggakan dan apa yang sanggup aku kongsi pada kali ini ialah seperti gambar di bawah. Mungkin gambar bukan asli, tetapi itulah isunya... semoga generasi mendatang tidak akan mewarisi kampung yang penuh dengan masalah fizikal seperti ini.


Nota:
1. Tidak perlu salahkan sesiapa... cukup dengan tindakan bersama
2. Tidak perlu dengan wang ringgit... cukup dengan kerjasma
3. Tidak perlu dengan kepakaran.... cukup dengan kesedaran
4. Tidak perlu dengan suara... cukup dengan hati nurani



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...