Thursday, February 9, 2012

Warisan Bangsa dan Luahan Anak Perantau

Negeri Sarawak merupakan sebuah entiti penting dalam proses pembentukan Persekutuan Malaysia sejak lebih 5 dekad yang lalu dan merupakan sebuah negeri yang sering dikaitkan dengan lambang burung Kenyalang. Mempunyai keluasan 124, 449 kilometer persegi yang mewakili 37.7 peratus keluasan Persekutuan Malaysia, negeri Sarawak merupakan negeri terbesar dengan populasi suku kaum yang mencecah 23 suku. Iban dan Melayu Sarawak adalah antara suku yang paling dikenali di Bumi Kenyalang di samping suku-suku lain seperti Melanau, Kejaman, Kiput, Punan, Saban, dan sebahagian lain yang masih kurang dikenali. Aku menyenaraikan suku-suku tersebut disebabkan aku mempunyai rakan semasa bergelar pelajar di IPT hampir sedekad lalu dan aku sendiri adalah antara suku yang mungkin kurang dikenali jika dikira mengikut loghat bahasa yang aku gunakan. 

Cuba teka, rumah ne kat mana. Dah Teka... Betul ke tak? JAWAPAN

Bangsa Melanau mempunyai pelbagai suku dan terdapat sedikit perbezaan yang kadangkala tidak diketahui oleh penduduk luar Sarawak. Malahan pengalaman aku sendiri berkhidmat dalam bidang pendidikan di Negeri di Bawah Bayu membuktikannya apabila soalan mudah yang sering ditanya oleh rakan sejawat pada peringkat awal pertemuan ialah, "U ne Iban ka? Awak tinggal di Kuching ka? Awak bangsa apa ye?. Selepas bertukar sekolah tempat bertugas, aku berani menyatakan bahawa hanya 5 peratus daripada kenalan aku yang mengetahui aku adalah bangsa Melanau dari suku Matu Daro dan selebihnya adalah masih lagi dengan persepsi mudah iaitu orang Sarawak mesti berasal dari Kuching dan berbangsa Iban atau Melayu. Kenapa perkara ini berlaku? Adakah dalam kalangan guru-guru ini buta geografi walaupun ada yang berkelulusan Sosiologi dan Antropologi? Selepas merenung melalui maklumat dan literasi sendiri, perkara mudah yang aku kaitkan ialah tida terdapat satu pun maklumat yang menyenaraikan dengan lengkap semua suku yang terdapat di Negeri Sarawak. Soalan mudah aku, berapa ramai yang mengetahui kewujudan suku Kiput di Miri? Malahan kalau tidak mempunyai rakan dari suku berkenaan aku mungkin tidak mengetahui kewujudannya.

Populasi Utama Suku Melanau (Matu Daro) : berkongsi Loghat yang sama

Kemudian suku Melanau yang mendiami kawasan Delta Sungai Rajang di Sarawak yang merupakan sungai yang terpanjang di Malaysia pun masih lagi merupakan antara suku yang kurang dikenali. Apakah suku Melanau ini tidak mampu menggapai kejayaan? Lupakan tentang politik kerana ianya bukan untuk menilai tentang betapa masyarakat Bumi Kenyalang mempunyai kepelbagaian warisan dan idea yang boleh menjana perkembangan budaya bangsa di Malaysia. Bagi aku masalah keterbatasan bahan rujukan dan budaya bangsa yang semakin pudar digamit memori zaman dahulukala menjadikan bangsa Melanau khususnya suku Matu Daro ini seakan hanya entiti yang tidak mempunyai identiti di mata masyarakat Malaysia. Berapa ramai dalam kalangan generasi muda yang masih berbangga dengan warisan bangsa? Berapa ramai yang masih berbangga menggunakan bahasa ibunda? Berapa ramai yang masih menjadikan warisan bangsa sebagai wadah untuk berbicara? Berapa ramai generasi muda yang sanggup memperjuangkan identiti bangsa? Berapa ramai anak bangsa yang masih tidak memahami betapa pentingnya nilai warisan sendiri?

Budak kampung Tian... korang pernah makan? Pernah tengok orang buat?

Kalau Terjumpa Buku Tajuk Begini, Berapa Nilai dengan RM anda????

Sebagai anak jati Matu Daro yang jauh merantau di negeri orang demi sesuap rezeki untuk ibu tercinta, adalah menipu kalau aku katakan aku tidak ingin berkhidmat di tempat sendiri. Dekat dengan keluarga, dekat dengan sanak saudara, dekat dengan rakan taulan, dan dekat dengan warisan bangsa. Tapi aku mempunyai seribu sebab dan alasan yang aku pendamkan kerana aku hanya anak kampung yang melihat betapa aku masih perlu berkhidmat di tempat orang dalam tempoh sedekad dua lagi. Pernahkah generasi muda di daerah kelahiranku terfikir tentang betapa warisan bangsanya semakin suram dimamah kemodenan dan mungkin persoalkan apa yang aku kongsikan ini. Lagipun persoalan mudah, kenapa aku tak buat entri ini menggunakan bahasa ibunda? Kenapa? Hanya anak Melanau yang faham tentang betapa Dinamiknya bahasa Melanau itu akan bersetuju dengan tindakan aku menulis entri ini dengan bahasa Melayu. Mungkin lebih baik jika entri ini ditulis dalam Bahasa Inggeris yang lebih bersifat Statik.

Pernah Nampak? Tahu tak baju apa ne? JAWAPAN

Bangsa Melanau terdiri daripada pelbagai suku, malahan mempunyai identiti berdasarkan loghat dan warisan budaya yang hampir sama. Hanya loghat yang membataskan komunikasi antara setiap lapisan generasi dan aku sendiri akui betapa aku masih buta dengan identiti sendiri dan masih jauh daripada mengenali identiti bangsa sendiri. Adakah anak bangsa aku kemudian hari akan terus dilambung gelombang kemodenan hingga lupa asal usul, hingga lupa identiti, hingga lupa siapa diri, dan hingga lupa perkataan Melanau itu sendiri. Tidak perlu jauh menilai, cukup dengan Daerah Matu-Daro-Igan yang mempunyai keluasan 667.28 kilometer persegi dengan komposisi kaum adalah 73 peratus berbangsa Melanau. Walaupun terdapat sedikit kelainan loghat khususnya di daerah kecil Igan, generasi muda Melanau khususnya di kampung Tian tempat kelahiranku semakin menikmati arus dan gelora kemodenan. Ramai yang sudah lupa tentang warisan bangsa dan ramai yang tidak boleh menyenaraikan berapa banyak identiti tentang bangsa sendiri. Isu yang bukan merujuk kepada salah siapa, tetapi isu yang berkaitan tentang tiada rekod untuk dijadikan rujukan dan sandaran. 

Nota Totian:
1. Sila sumbangkan karya anda
2. Jadilah generasi yang peka dengan warisan bangsa



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...