Friday, May 11, 2012

Permainan Tradisional "Say Duray" yang Berfungsi dengan Nyanyian

Perkembangan zaman telah memberikan masyarakat khususnya di kawasan kampung mampu untuk menerima pelbagai input yang bermaklumat daripada perkembangan teknologi semasa. Dalam aspek ini aku memang mengakui bahawa proses yang berlaku secara evolusi (perlahan-lahan) telah memberikan impak yang amat besar dalam proses kanak-kanak di kampung aku meniti alam remaja. Jika dibuat analogi mudah,  perkara ini adalah berkait rapat dengan bagaimana teknologi semasa menjadi nadi dalam perkembangan zaman kanak-kanak dan remaja di Kampung Tian berbanding beberapa dekad yang lalu. Kadangkala apabila merenung kembali bagaimana kanak-kanak sezaman dengan aku menghabiskan masa di waktu petang dahulu, aku dapat bayangkan betapa jauhnya jurang perbezaan dengan kanak-kanak dan remaja pada hari ini. Kenapa? Semuanya adalah kerana perkembangan teknologi dan kewujudan rangkaian sosial facebook yang berkonsepkan teknologi web 2.0 turut menjadi kegilaan generasi muda di Kampung Tian.

Apabila bercerita tentang kemajuan yang menghakis budaya dan kenangan zaman aku dan rakan-rakan membesar, aku sering terlupa dan selalu terfikir (WIGO : What is going on?). Hahahahahaha, semuanya berlaku secara tidak sengaja, padahal persoalan tersebut sudah aku akui dipengaruhi oleh perkembangan teknologi semasa impak kemajuan ekonomi negara. Permainan tradisional berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh generasi tua di kampung dan aku berani nyatakan bahawa generasi 30-an turut merasai bagaimana jerih perit kehidupan 20 tahun yang lampau. Ianya memberikan satu loncatan kreativiti kepada generasi zaman tersebut untuk mewujudkan satu bentuk hiburan iaitu permainan tradisional dan apa yang aku fokuskan dalam entri ini ialah permainan yang melibatkan nyanyian. Memang tidak dinafikan kewujudan lebih 20 permainan tradisional yang direkodkan oleh Jabatan Penerangan dalam konteks masyarakat Malaysia ada sedikit berkait rapat dengan permainan tradisional masyarakat Kampung Tian menurut pemerhatian aku. Boleh rujuk di SINI kategori-kategori permainan tersebut.

Perkara utama yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu dalam masyarakat kampung aku ialah keseragaman cara hidup generasi terdahulu yang penuh dengan adab sopan dan nilai-nilai kekeluargaan (nilai negatif tak perlu difikirkan ye). Keadaan ini membentuk satu kreativiti yang bagi aku kadangkala menjadi nadi dalam usaha membentuk jati diri kanak-kanak khususnya yang seusia denganku. Sebenarnya permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat dalam konteks sejarah negara dan ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh generasi yang lebih lama merasai masinnya garam dalam masakan hahahahahaha. Walau bagaimanapun, jika dikaitkan secara umum, terdapat juga permainan yang masih dimainkan lagi oleh golongan kanak-kanak sehingga hari ini. Di antara permainan itu termasuklah, congkak, wau, batu seremban, sepak raga, gasing dan lain-lain. Walau bagaimanapun, permainan yang berkait rapat dengan nyanyian yang sering dimainkan oleh masyarakat Kampung Tian adalah seperti gambar berikut: 

Permainan yang dimainkan Mengikut Kreativiti.

Puas juga aku berfikir dan memerah otak dan idea sumbang tentang asal usul permainan yang dibincangkan oleh rakan-rakan facebook di atas (untuk makluman : korang masuk group Melanau Tian Mato, aku kenal dan kenal... jadi guna FB dengan cara berhemah). Bukan aku tak pernah bermain permaianan tersebut, cuma semuanya aku mainkan semasa zaman kanak-kanak selaras dengan tuntutan kanak-kanak kampung yang normal dan suka merayau ke serata ceruk kampung bersama geng-geng Power Rangers, hahahahaha. Apa yang memeningkan kepala aku ialah maksud bait-bait lagu yang bila diterjemahkan ke bahasa Malaysia, hanya membawa kepada 80 peratus maknanya. Malahan aku tidak malu untuk mengatakan bahawa ada perkataan yang aku sendiri pun tak tahu maksudnya seperti frasa "kelepak naway, tiken baden". Tapi realitinya, itulah frasa yang sering digunakan dalam permainan "Say Duray", "Gegiling Galang", dan "Polis Sentri" ini dalam kalangan kanak-kanak kampung aku satu ketika dahulu walaupun mungkin terdapat beberapa versi yang berlainan sedikit kerana lumrah ilmu yang tidak dicatat, ia akan kekal misteri hingga tiada versi yang 100 peratus tepat seperti kronologi sejarah masyarakat Melanau sendiri. Sebelum aku jelaskan tentang permainan ini, layan dahulu video youtube filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berikut:

Tengok di minit ke 4 video, anda akan faham.


Sekiranya manusia menggunakan otak untuk berfikir, mata untuk membaca, dan hati yang terbuka... ilmu itu tidak sukar untuk digapai. Malahan apa yang aku perhatikan, ramai dalam kalangan golongan remaja (termasuklah yang seusia dengan aku) kurang menggunakan kemahiran membaca dan anugerah otak yang ada untuk membaca dan meneliti. Jadi jika diteliti perbincangan rakan-rakan tentang permainan tradisional dalam gambar sebelum video ini, terdapat pelbagai cara untuk memainkan permaianan tersebut. Oleh sebab itu respon yang dapat dilihat adalah rawak dan pelbagai. Kemudian bandingkan dengan kandungan video yang aku paparkan di atas dan buat kesimpulan tentang persamaan yang cuba aku sampaikan sebelum membaca entri ini untuk perenggan seterusny. Apabila dibandingkan dengan cara yang sistematik persamaan akan dapat dijelaskan dalam erti kata latar belakang masyarakat Nusantara yang pelbagai satu ketika dahulu. Allahyarham Tan Sri P. Ramlee memang mempunyai idea yang mendahului zaman dan kreativiti yang sukar untuk digambarkan sehingga ke hari ini.

"Permainan Mencari Cucu" seperti yang terdapat dalam video di atas merupakan permainan tradisional yang dimainkan oleh golongan kanak-kanak khususnya diluar rumah dalam masyarakat Melayu satu ketika dahulu. Kemudian aku sudah jelas tentang pendirian sebelum ini dalam entri-entri terdahulu menyatakan betapa masyarakat Melayu dan Melanau adalah jauh berbeza. Mungkin persamaan dalam nilai-nilai kebudayaan dan rumpun bangsa yang sama boleh diterima. Jadi tiada istilah Melayu-Melanau dan ianya hanya sekadar propaganda politik (aku tak berminat dalam isu politik, sorry). Berbalik kepada "Permainan Mencari Cucu" seperti dalam video, memang terdapat persamaan dalam nilai dan fungsi dengan permaian "Say Duray" yang dimainkan turun temurun dalam kalangan kanak-kanak Kampung Tian. Memang terdapat perbezaan yang ketara, tapi bila dikaitkan dengan nilai dan fungsi kedua-dua permainan, bagi aku jelas menunjukkan bagaimana kedua-dua permainan menjadi nadi dalam membentuk nilai dan jati diri dalam kalangan kanak-kanak (walaupun dalam video tu semua anak dara yang main, termasuk bakal bini aku...ops! silap, bakal bini pelakong utama @ P. Ramlee).

Permainan "Say Duray" ini memang dapat memupuk semangat bermasyarakat (setiakawan dll) dalam kalangan kanak-kanak di kampung aku ketika dahulu dan mampu memberi peluang kepada mereka untuk bersukan sambil beriadah mengeluarkan peluh. Melalui permainan "Polis Sentri" yang kadangkala disambung terus dalam permainan "Say Duray" mampu memupuk psikomotor kanak-kanak. Malahan permaian "Gegiling Galang" turut memberikan kanak-kanak idea dan kreativiti yang kadangkala sukar untuk menilai dan memberikan bukti empirikal terhadap emosi dan kemahiran berfikir mereka. Walau bagaimanapun, aku memang yakin dan bandingkan dengan diri sendiri, sejauh mana anda memahami konsep asas aku membangunkan blog ini dan menulis entri yang kadangkala panjang berjela-jela seperti ini. Bagi aku, inilah bukti empirikal kesan daripada bagaimana aku membesar dan bagaimana warga Kampung Tian yang sama-sama meniti kehidupan alam kanak-kanak dan remaja.

Walau bagaimanapun, apa yang dilalui oleh golongan kanak-kanak dan remaja sezaman denganku tidak lagi sama dengan generasi pada hari ini. Tidak mustahil nilai-nilai sosial dan budaya bangsa akan berubah kerana ianya adalah sesuatu yang dinamik. Cuma apa yang penting ialah identiti sebagai generasi baru masyarakat Melanau tidak akan dilupakan seperti yang aku bincangkan tentang Bahasa Melanau sebelum ini. Malahan apa yang aku buat ini hasilnya bukanlah seberapa dan sekadar renungan generasi kini (bukti Kampung Tian penuh dengan nilai dan budaya). Memang permainan tradisi dalam kalangan masyarakat Kampung Tian pada hari betul-betul terhakis sebagaimana gambar berikut:

Baju Tradisi Melanau : Aku Sentuh Pun Belum Pernah. SUMBER






1 comment:

  1. Tumpang lalu admin..pertanyaan ada sumber sejarah kampung tian?mencari bahan utk pdp sejarah tempat tinggal..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...