Monday, October 14, 2013

Kenangan Zaman Sekolah Menengah : Malam Sebelum Aidiladha

Kasat masih termenung, terlalu banyak perkara yang perlu beliau ambil kira dari aspek pro dan kontranya. Setiap tindakan beliau pasti akan mengundang padah sekiranya tidak berlandaskan logik selaras dengan konsep Qada dan Qadar Allah SWT. Sudah seminggu mereka masih terkapai-kapai mencari jalan pulang, satu-satunya jalan untuk kembali ke kampung halaman. Sudah berpuluh jampi, sudah beratus petua, sudah beribu usaha, sudah berjuta kudrat, dan bermacam-macam lagi perkara yang melibatkan hutan sudah Kasat lakukan untuk menepis musibah yang berlaku. Segala-galanya ibarat telur dihujung tanduk. Si Kikun sudah kering airmata menangis, segala-galanya seperti esok akan kiamat baginya. 

"Kasatttt... Kasatttt... Kasatttt"... tercungap-cungap si Apiq berlari dari seberang sungai menghala ke arah Kasat dan kawan-kawannya. "Aku rasa kura-kura ini boleh membantu kita keluar dari kawasan hutan ini" kata Apiq dengan penuh semangat. Mata Kasat terbeliak... "mana ko dapat kura-kura sebesar ini" malahan si Kikun yang dah hampir-hampir terlelap dek kerana kehabisan air mata terbangun serta amat berminat dengan saiz kura-kura yang dibawa oleh si Apiq... "Wah, kalau kita bakar kura-kura ni mungkin kita boleh kenyang seminggu" kata Kikun. 

Kasat hanya tersenyum simpul mendengar cadangan si Kikun yang memang terkenal dengan kelembapan tahap dewa dalam kalangan rakan-rakan rapat sekampung. Tapi Kasat pun turut berfikir sambil menelan air liurnya mendengar cadangan si Kikun....



Bersambung....

Celaka, apa aku taip ne? Esok dah nak Raya Aidiladha... kah kah kah kah... Korang fikirkan sendiri berasakan print screen berikut.


SALAM AIDILADHA SEMUA...

Friday, October 11, 2013

Kebakaran Kampung Tian : Part I

Sejak berpuluh tahun lampau selepas Kampung Tian mula bertambah ramai jumlah penduduknya dan sejak aku mula memahami apa yang dipanggil kehidupan... tidak sampai 5 kali kebakaran berlaku. Tapi tarikh keramat 8 Oktober 2013 yang lepas adalah titik hitam dalam lipatan sejarah hampir 80% warga kampung aku yang mula terdiri daripada pelbagai kaum lantaran asimilasi dan karenah politiknya. Tragedi yang betul diluar kemampuan warga kampung yang mempunyai pelbagai kekurangan. Rujuk gambar pertama berikut sebagai renungan bersama:

Panorama Kawasan Kebakaran Seleps 12 jam Kejadian

Aku bukanlah suka sangat berceloteh dengan gaya bahasa santai, seringkali aku memilih untuk menggunakan laras bahasa berunsurkan sejarah yang diselitkan "parodi" ringan dengan ayat yang panjang. Jadi memerlukan pembacaan yang serius sebelum memahami apa yang aku cuba sampaikan. Walau bagaimanapun, artikel pertama ini aku cuba mengekalkan gaya bahasa walaupun tragedi di atas betul-betul memberikan kesan sukar kepada sebahagian besar warga kampung aku. Bagi aku sendiri, tragedi ini betul-betul menyebabkan aku keletihan dalam tempoh 48 jam. Setiap warga khususnya remaja belasan tahun hingga ke kelompok dewasa 40 tahun berhempas pulas dalam tempoh masa lebih 3 jam untuk menangani tragedi di atas sehingga pihak bomba cawangan Mukah tiba sekitar 5.30 pagi apabila kebakaran berjaya di kekang dan hampir ke penghujungnya.

Bila Anda Melihat Insan Lain Yang Ditimpa Musibah, Gunakanlah Logik Akal dan Bukannya Palitan Hitam di Hati Anda.

Berapa buah rumah yang terlibat dalam kebakaran ini? Aku yang membesar di Kampung Tian dan hampir separuh hidup aku diisi dengan aktiviti melepak dan setiap ceruk kampung aku dah redah pasti dengan lebih 12 buah rumah yang hangus dan 7 buah rumah mengalami kerosakan. Tragedi meyayat hati ini (mungkin dengan manusia berhati batu merasakan ianya boleh dijadikan parodi) bagi aku memang memberikan tamparan yang hebat kepada keluarga-keluarga mangsa. Bayangkan ada rumah yang sudah tersergam lebih separuh abad musnah. Setiap rumah meninggalkan lipatan memori indah kepada keluarga terlibat dan ianya diakhiri dengan tragedi menyedihkan ini. 

Aku masih sakit hati, keliru, dan pelbagai perasaan dengan tragedi ini dan tak tahu nak memilih bahagian mana ingin dikongsikan dalam bahagian I ini. Jadi aku akan bahagikan kepada dua perkara iaitu kronologi peristiwa dan semangat kemasyarakatan daripada tragedi ini. Kronologi tragedi ini melalui pengalaman sendiri dan perbualan dengan kenalan yang sama-sama membanting tulang empat kerat mengawal kebakaran supaya tidak merebak dengan lebih teruk. Kronologi aku bahagikan berdasarkan selang masa tragedi:

02.30 Pagi 
Kebakaran mula disedari oleh jiran terdekat : hampir 5 orang lelaki yang terdiri dari orang dewasa mula mengawal api dari kawasan sungai di belakang rumah pertama. 

Api Hampir Merebek ke 2 Buah Rumah di Seberang Sungai dan Dinding Serta Bumbung Rumah Terbabit Terpaksa Ditanggalkan dengan Tulang Empat Kerat
Rumah Diseberang Sungai (Bahagian Timur) Yang Ditanggalkan Dinding Untuk Mengawal Kebakaran

02.45 Pagi
Panggilan pertama kepada pihak SESCO dibuat oleh individu tertentu yang berada dekat kawasan kebakaran

03.15 Pagi 
Wayar elektrik antara dua tiang putus dan ramai lelaki dewasa dan remaja lari bertempiaran semasa berusaha memadamkan api dari rumah pertama. Masa inilah api merebak ke rumah kedua dan ketiga berdekatan dan "belangah" (bangunan tradisional untuk menghasilkan sagu : kalau ada orang rasa bangunan ini tidak bernilai, dia layak direndam dalam Sungai Tian) yang berdekatan turut dijilat api. Pegawai SESCO yang dihubungi sudah berada di Kampung Tengah Daro dan sedang memecut ke Kampung Tian.

Pegawai JPAM Kampung Tian bergegas ke pejabat di Kampung Sekaan bersama-sama beberapa orang remaja untuk membawa enjin pam air dan hos untuk mengawal kebakaran. Adalah sesuatu yang sukar untuk memadam api dengan menggunakan baldi sahaja. *** Cuba selami perkara ini dengan mata hati, jika menganggap tragedi ini disebabkan rumah kayu / papan adalah jauh dari nilai logik akal kerana kalau pam air dan hos sepanjang 20m sudah tersedia, kebakaran akan dapat dikekang seawal 03.30 Pagi.

"Beduk" (Tabuh) telah dibunyikan pertama kali dan pada masa ini masih lagi tidak diketahui secara menyeluruh oleh warga kampung. Walau bagaimanapun pada masa ini warga Kampung Tian yang berusia lebih 40 tahun sudah mula menghubungi pihak polis, bomba, dan sanak saudara terdekat. Semua memainkan peranan secara tidak terancang bagi menangani masalah tersebut.

03.20 Pagi
Pencawang elektrik utama Kampung Tian berjaya ditutup oleh pegawai SESCO (Tahniah kerana beliau sangat prihatin, walaupun aku tak kenal beliau). Penduduk tempatan terus berusaha mengawal kebakaran bersama-sama walaupun sukar dengan hanya menggunakan baldi dan bahang api semakin terasa.

Pada masa ini ramai dalam kalangan warga emas sudah berpusu-pusu mengangkat barang dari rumah berdekatan dan berapa banyak barang yang sempat dibawa. Malahan pemilik rumah kedua, ketiga, keempat, dan kelima memang tidak sempat menyelamatkan barangan peribadi milik mereka.

03.30 Pagi
Rombongan Pegawai JPAM Kampung Tian sampai dari pejabat dengan membawa sekurang-kurangnya 2 enjin pam air dan 4 sambungan hos yang bakal digunakan untuk mengawal kebakaran. Peralatan ini dibahagikan kepada 2 bahagian dan remaja-remaja belasan tahun dan golongan dewasa secara beramai-ramai bekerjasama mengawal api.

Bahang api yang sangat panas menyebabkan beberapa rumah terus dijilat api dengan mudah terutamanya rumah berdinding papan. Pada masa ini memang jelas menunjukkan bahawa dinding papan lebih mudah dijilat api dan tempoh api marak yang lama. Dinding daripada "abestos" pula mudah terbakar dan kurang menyebabkan api merebak. Ini kerana dinding ini mudah hancur apabila dijilat api dan tempoh pembakaran yang lebih cepat daripada dinding papan.

"Beduk" (Tabuh) telah dibunyikan semula untuk kali memandangkan tragedi belum lagi diketahui oleh semua warga kampung. Tetapi pukulan kali kedua ini lebih kepada membangunkan warga kampung yang masih lena diulit mimpi indah.

04.00 Pagi
Api masih marak dan makin merebak ke rumah keenam, ketujuh, kelapan, dan kesembilan... pada masa ini aku masih berada di bahagian Selatan (hulu) kawasan kebakaran bersama-sama mengawal api dengan kudrat yang ada. Harapan hanya untuk mengawal api dan rumah yang dikawal ada 2 buah. Sedih melihat hanya sebuah yang selamat (selamat dengan erti kata tidak dijilat api, tetapi dalam rumah habis basah dan berlaku kerosakan kerana pergerakan hampir berpuluh orang keluar masuk membawa air dalam baldi) manakala sebuah lagi bahagian depan rosak teruk. Rujuk gambar di bawah:

Rumah di Sebelah Kiri Rosak Teruk di Bahagian Depan, Rumah di Sebelah Kanan Berlaku Kerosakan Semasa Warga Cuba Mengawal Api.

04.30 Pagi
Kebakaran masih lagi sukar dikawal apabila angin yang bertiup dengan lemah menghala ke bahagian Selatan (hulu) mula-mula beralih ke bahagian Utara (hilir). Angin ini masih lagi dikira kurang memberi kesan kepada selang masa api merebak. Ia cuma mempengaruhi arah api dan kekurangan peralatan (enjin pam air dan hos) menyebabkan 2 buah rumah lagi di bahagian Utara (hilir) semakin dekat dengan api. Dengan kudrat menggunakan air dan baldi, kumpulan berpuluh orang remaja dan dewasa lelaki bertungkus lumus mengawal kebakaran. Secara peribadinya, aku tak nampak peristiwa di bahagian ini kerana aku masih di bahagian Selatan (hulu) dan baju yang basah sempat kering dek bahang api yang memang mencecah takat didih.

2 buah rumah yang terbabit terpaksa dirosakkan (dinding dibuka dengan kudrat tulang empat kerat) dan alhamdulillah... taktik ini berjaya mengawal api daripada memusnahkan rumah terbabit. Ini menjadikan 6 buah rumah terpaksa dibuka dinding bagi mengawal kebakaran yang betul-betul merupakan tragedi yang sudah dianggap sebagai satu musibah yang perlu ditangani awal sebelum berlaku sebarang kebakaran bagi warga Kampung Tian yang mampu berfikir dengan waras. Isu keperluan enjin pam air dan hos yang panjang sudah diutarakan beberapa tahun terkini bagi menggantikan keperluan Balai Bomba yang masih dalam proses menjadikannya realiti.

Rumah di Bahagian Utara (Hilir) yang Terpaksa Dibuka Dinding Papannya Untuk Mengawal Kebakaran

05.00
Kebakaran semakin reda dan penat lelah remaja belasan tahun hingga dewasa 40-an berbaloi dengan keadaan api yang semakin kecil dan dapat dikawal. Aku rasa hampir 80% daripada warga Kampung Tian datang ke kawasan tragedi. Tidak termasuk warga dari kampung lain yang sama-sama datang. Memang 90% kawasan tragedi tidak dapat aku pergi, cuma aku sempat berpusing 360 darjah kawasan tragedi dan merakamkan beberapa video sehinggalah kedatang pihak Bomba dan Penyelamat Mukah sekitar 05.30 Pagi. 

Video-video pendek berikut aku ambil sepanjang 3 jam tragedi dari 3 arah mata angin utama (Timur, Barat, dan Selatan). Layan video ringkas berikut:
(Akan di"embed" selepas selesai upload di Youtube)


Pihak Bomba dan Penyelamat Mukah hanya sampai ke kawasan tragedi sekitar 05.20 Pagi dan mempersoalkan tempoh masa mereka sampai adalah sesuatu yang tidak logik bagi aku. Semua warga Daerah Matu Daro dan sekitar bahagian Mukah mesti dapat membuat agakan masa berdasarkan jarak dan sebagainya. Kedatangan pihak Bomba dan Penyelamat memang secara peribadinya aku sangat hargai dan memang mereka sudah berusaha menunaikan tanggungjawab sebaiknya.

Keadaan ini semua perlu maklum dan keperluan balai bomba memang mendesak. Bagi aku pembinaannya memerlukan kos dan perancangan yang teliti. Aku sudah cukup berpuas hati sekiranya dalam tempoh 5 tahun projek pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Matu Daro dibina. Walau bagaimanapun keperluan enjin pam air dan hos perlu disediakan di setiap kampung. Ibarat kata pepatah "Jika tiada rotan, akar pun berguna juga"

Warga Kampung memberikan sepenuh tenaga dan kudrat dalam tragedi ini bersama-sama. Ia memanng menjadi tradisi dan ianya perlu dibanggakan kerana budaya bekerjasama memang sebati dalam diri warga kampung. Walau bagaimanapun... "ibarat setandan pisang, tidak semuanya baik" memang aku tak nafikan seperti perbualan FB berikut. Itulah yang aku maksudkan sebagai parodi yang tidak sepatutnya dibuat oleh anak jati Kampung Tian sendiri.



Nota:
Talian streamyx dengan kelajuan 1MBps pun masih sukar untuk memuat naik video yang aku rakam dan terpaksa "embed" dari youtube.

Tulisan ne aku kutip dan campur aduk daripada penceritaan rakan2 yang sama-sama terlibat. Siapa yang sampai ke lokasi kejadian dan sempat melihat jam ditangan, hp, atau apa2 sahaja... rujuk anda berada di selang masa mana.

Ramai mangsa yang tinggal sehelai sepinggang dan ini sesuatu yang amat menyedihkan.




Saturday, August 17, 2013

Antara Budaya Masyarakat dan Persepsi Golongan Muda

Sejak berpindah tempat bertugas, memang aku jarang ada masa nak mengemaskini setiap blog dan apa sahaja atas talian kerana sibuk dengan urusan duniawi. Urusan yang aku dah buat sejak zaman sekolah menengah hinggalah tamat pengajian beberapa tahun yang lepas. Susah untuk aku nak cari masa untuk meneruskan apa yang biasa aku buat untuk beberapa tahun ini. Tapi sejak penghujung Ramadan dan awal Syawal tahun ini, kawan-kawan aku asyik mainkan video Tegar (Sampai aku naik muak kerana ada lak kengkawan laman sosial aku yang sukakan video yang sama: Korang cari sendiri video tu. Hahahahaha)

"Aku yang dulu... bukanlah yang sekarang" celaka! ayat tu memang bagi aku betul-betul penuh makna kerana selepas 10 tahun ada kerjaya sendiri dan selalu balik ke kampung, aku dapat rasakan apa makna ayat itu. Apalagi selepas bertugas di tempat sendiri dan aku nampak hampir semuanya apa yang berlaku di kampung tanpa diselindungi oleh suasana Aidilfitri. 

Kampung Tian memang mempunyai keindahan seperti tempat lain yang tetap ada nilai keunikkannya sendiri. Malahan sejak 10 malam terakhir Ramadan hinggalah 10 hari terawal Syawal. Jika dikaitkan dengan aku sendiri, memang lirik lagu Tegar membuatkan aku teringat apa yang berlaku sepanjang 20 tahun lepas... 20 tahun yang bagi aku bagaikan tidak mahu aku ulangi lagi kecuali keindahan zaman remaja yang setiap orang akan ingati. Tapi hipokrit orang memang merata-rata lak aku tengok tahun ne... hahahahaha.

Apa yang buat aku termenung sepanjang Syawal? Mungkin dengan mencoretkan di laman blog ini boleh dijadikan iktibar untuk aku sendiri dan rakan-rakan rapat, cukup untuk kami sendiri dan bukannya untuk penduduk Kampung Tian khususnya. Apa yang aku fikirkan selepas mendengar keluhan dan bualan kosong semasa lepak (Bukan bualan kosong tempat aku selalu lepak ye):

1. Solat Aidilfitri dengan berlapiskan tikar getah di dewan terbuka dek kerana infrastruktur Masjid Kampung yang usang dan sempit.
Ulasan aku: Mudah untuk menuding jari sebenarnya dan meletakkan tanggungjawab kepada sesiapa sahaja yang kita rasa layak. Tetapi setiap individu yang mengutarakan isu masjid kampung memang 90% meletakkan tanggungjawab kepada individu dan pihak tertentu. Tapi bagi aku isu ini bukannya sukar seperti perbualan kosong di kedai kopi. Kesukarannya ialah isu birokrasi dan bagaimana aliran peruntukan daripada Kerajaan Malaysia disalurkan daripada Jabatan Akauntan Negara kepada pihak yang berkaitan dengan pembinaan Masjid ini. Jika peruntukan pembinaan Masjid dikeluarkan tahun ini, aku yakin dengan kesukaran yang mungkin tidak terjangkau akal orang kampung dan aku sendiri, masjid yang indah akan tersergam pada tahun 2018. Kenapa 2018? Jawapan mudah... bukan senang nak buat projek macam tu. Analogi mudah... aku dah pusing hampir 60% Wilayah Borneo dan 80% dunia melalui pembacaan, projek pembinaan Masjid Kampung Tian bukanlah seperti membina sebuah rumah ditepi jalan kampung. Cukup bagi aku jika ada projek mahupun perancangan untuk membina masjid tersebut.

2.Sabung ayam dah jadi budaya orang Kampung Tian erk????
Ulasan Aku: Celakaaaa... aku pun bukannya bagus sangat dalam semua benda, aku dah biasa dengan keadaan itu semua dan hampir lali, cuma tetap ada rasa tidak redha dengannya keadaannya. Cuma kadangkala aku terkilan dengan budak-budak awal remaja yang terpengaruh dengan budaya sabung ayam ini. Aku nak cakap memang tak boleh... sebab orang cuma layak bercakap kepada anak-anak sendiri. Aku tak ada anak, jadi lepaslah tanggungjawab tu... kah kah kah kah.

Sebenarnya jika pembinaan Masjid Kampung Tian menjadi realiti satu hari nanti, aku mengharapkan ianya dibina di kawasan padang lama kampung yang menjadi arena kaki-kaki sabung ayam. Dengan harapan ianya mampu mengubah budaya terbabit kerana aku yakin 40% yang terlibat dalam aktiviti sabung ayam tu bukannya orang kampung aku. Tapi jika projek pembinaan masjid tersebut dibuat di bahagian lain, bagi aku mungkin individu yang merancang tersebut ada pendapat dan faktanya sendiri yang lebih bernas berdasarkan pengetahuan dan ilmunya. Aku rasa pihak itu lebih layak daripada aku dan pengkritik tegar yang menghabiskan masa melepak tanpa ada matlamat (sebab bualan kosong mereka aku yakin blog ini pun mereka tak baca). Bagi aku setiap individu ada akal dan fikiran untuk membuat keputusan berdasarkan ilmunya dan jawatan adalah berdasarkan ilmu individu tersebut.

3. Jambatan Kampung Tian semakin uzur...
Adoiiii... kos yang aku rasa hampir saban tahun memeningkan pihak yang mengurus dan memikirkan isu ini. Bagi aku, malas ah nak fikir sangat sebab memang kos akan meningkat saban tahun dan ianya dibaiki dan dibaik pulih setiap 2 tahun. Kalau jalan raya kampung lain, cuma perlu dilebarkan dan jaga dengan kos yang lebih murah. Untung rumah-rumah di sepanjang jalan ke SK Bawang Tian dan kawasan yang dihubungi dengan jalan seperti itu.

Cuma aku mengharapkan agar kontraktor yang membina jambatan kampung ini nanti dari kalangan orang yang hatinya tulus. Jambatan yang lama itu adalah hak (Aku ulang Hak) hak penduduk Kampung Tian dan bukannya hak kontraktor yang terlibat. Kalau pisang berbuah 2 kali untuk tender kali ini semasa aku bertugas di tempat sendiri, aku mohon ampun dan maaf awal-awal. Aku akan gunakan semua kemahiran untuk menjadi pengkritik mengikut saluran yang sepatutnya tanpa menjejaskan aktiviti lepak aku. 

4. Banyak isu... aku pun malas dah nak menaip, cuma aku: tak suka orang hipokrit, kalau aku yang dulu korang tengok sebelah mata.... tolonglah tengok aku begitu juga sekarang (aku tak kisah dan takda dosa antara kita). Kalau dulu korang tengok aku sebelah mata, sekarang tengok aku dengan kedua-dua mata, lumrah manusia... aku pun tak kisah. Cumaaaaa kalau dulu tengok aku dengan sebelah mata, sekarang korang lak lebih-lebih nak itu ini ngan aku, aku meluat. Hahahahaha... apalagi kalau kat mak aku korang umpat sana sini, kat aku baik nak mampussss... ingatlah. Aku faham istilah "Syurga di bawah tapak kaki ibu"

5. Semoga Kampung Tian akan terus menongkah arus kemajuan negara dengan erti kata yang sepatutnya dan menepati nilai-nilai kemanusian.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...