Friday, October 11, 2013

Kebakaran Kampung Tian : Part I

Sejak berpuluh tahun lampau selepas Kampung Tian mula bertambah ramai jumlah penduduknya dan sejak aku mula memahami apa yang dipanggil kehidupan... tidak sampai 5 kali kebakaran berlaku. Tapi tarikh keramat 8 Oktober 2013 yang lepas adalah titik hitam dalam lipatan sejarah hampir 80% warga kampung aku yang mula terdiri daripada pelbagai kaum lantaran asimilasi dan karenah politiknya. Tragedi yang betul diluar kemampuan warga kampung yang mempunyai pelbagai kekurangan. Rujuk gambar pertama berikut sebagai renungan bersama:

Panorama Kawasan Kebakaran Seleps 12 jam Kejadian

Aku bukanlah suka sangat berceloteh dengan gaya bahasa santai, seringkali aku memilih untuk menggunakan laras bahasa berunsurkan sejarah yang diselitkan "parodi" ringan dengan ayat yang panjang. Jadi memerlukan pembacaan yang serius sebelum memahami apa yang aku cuba sampaikan. Walau bagaimanapun, artikel pertama ini aku cuba mengekalkan gaya bahasa walaupun tragedi di atas betul-betul memberikan kesan sukar kepada sebahagian besar warga kampung aku. Bagi aku sendiri, tragedi ini betul-betul menyebabkan aku keletihan dalam tempoh 48 jam. Setiap warga khususnya remaja belasan tahun hingga ke kelompok dewasa 40 tahun berhempas pulas dalam tempoh masa lebih 3 jam untuk menangani tragedi di atas sehingga pihak bomba cawangan Mukah tiba sekitar 5.30 pagi apabila kebakaran berjaya di kekang dan hampir ke penghujungnya.

Bila Anda Melihat Insan Lain Yang Ditimpa Musibah, Gunakanlah Logik Akal dan Bukannya Palitan Hitam di Hati Anda.

Berapa buah rumah yang terlibat dalam kebakaran ini? Aku yang membesar di Kampung Tian dan hampir separuh hidup aku diisi dengan aktiviti melepak dan setiap ceruk kampung aku dah redah pasti dengan lebih 12 buah rumah yang hangus dan 7 buah rumah mengalami kerosakan. Tragedi meyayat hati ini (mungkin dengan manusia berhati batu merasakan ianya boleh dijadikan parodi) bagi aku memang memberikan tamparan yang hebat kepada keluarga-keluarga mangsa. Bayangkan ada rumah yang sudah tersergam lebih separuh abad musnah. Setiap rumah meninggalkan lipatan memori indah kepada keluarga terlibat dan ianya diakhiri dengan tragedi menyedihkan ini. 

Aku masih sakit hati, keliru, dan pelbagai perasaan dengan tragedi ini dan tak tahu nak memilih bahagian mana ingin dikongsikan dalam bahagian I ini. Jadi aku akan bahagikan kepada dua perkara iaitu kronologi peristiwa dan semangat kemasyarakatan daripada tragedi ini. Kronologi tragedi ini melalui pengalaman sendiri dan perbualan dengan kenalan yang sama-sama membanting tulang empat kerat mengawal kebakaran supaya tidak merebak dengan lebih teruk. Kronologi aku bahagikan berdasarkan selang masa tragedi:

02.30 Pagi 
Kebakaran mula disedari oleh jiran terdekat : hampir 5 orang lelaki yang terdiri dari orang dewasa mula mengawal api dari kawasan sungai di belakang rumah pertama. 

Api Hampir Merebek ke 2 Buah Rumah di Seberang Sungai dan Dinding Serta Bumbung Rumah Terbabit Terpaksa Ditanggalkan dengan Tulang Empat Kerat
Rumah Diseberang Sungai (Bahagian Timur) Yang Ditanggalkan Dinding Untuk Mengawal Kebakaran

02.45 Pagi
Panggilan pertama kepada pihak SESCO dibuat oleh individu tertentu yang berada dekat kawasan kebakaran

03.15 Pagi 
Wayar elektrik antara dua tiang putus dan ramai lelaki dewasa dan remaja lari bertempiaran semasa berusaha memadamkan api dari rumah pertama. Masa inilah api merebak ke rumah kedua dan ketiga berdekatan dan "belangah" (bangunan tradisional untuk menghasilkan sagu : kalau ada orang rasa bangunan ini tidak bernilai, dia layak direndam dalam Sungai Tian) yang berdekatan turut dijilat api. Pegawai SESCO yang dihubungi sudah berada di Kampung Tengah Daro dan sedang memecut ke Kampung Tian.

Pegawai JPAM Kampung Tian bergegas ke pejabat di Kampung Sekaan bersama-sama beberapa orang remaja untuk membawa enjin pam air dan hos untuk mengawal kebakaran. Adalah sesuatu yang sukar untuk memadam api dengan menggunakan baldi sahaja. *** Cuba selami perkara ini dengan mata hati, jika menganggap tragedi ini disebabkan rumah kayu / papan adalah jauh dari nilai logik akal kerana kalau pam air dan hos sepanjang 20m sudah tersedia, kebakaran akan dapat dikekang seawal 03.30 Pagi.

"Beduk" (Tabuh) telah dibunyikan pertama kali dan pada masa ini masih lagi tidak diketahui secara menyeluruh oleh warga kampung. Walau bagaimanapun pada masa ini warga Kampung Tian yang berusia lebih 40 tahun sudah mula menghubungi pihak polis, bomba, dan sanak saudara terdekat. Semua memainkan peranan secara tidak terancang bagi menangani masalah tersebut.

03.20 Pagi
Pencawang elektrik utama Kampung Tian berjaya ditutup oleh pegawai SESCO (Tahniah kerana beliau sangat prihatin, walaupun aku tak kenal beliau). Penduduk tempatan terus berusaha mengawal kebakaran bersama-sama walaupun sukar dengan hanya menggunakan baldi dan bahang api semakin terasa.

Pada masa ini ramai dalam kalangan warga emas sudah berpusu-pusu mengangkat barang dari rumah berdekatan dan berapa banyak barang yang sempat dibawa. Malahan pemilik rumah kedua, ketiga, keempat, dan kelima memang tidak sempat menyelamatkan barangan peribadi milik mereka.

03.30 Pagi
Rombongan Pegawai JPAM Kampung Tian sampai dari pejabat dengan membawa sekurang-kurangnya 2 enjin pam air dan 4 sambungan hos yang bakal digunakan untuk mengawal kebakaran. Peralatan ini dibahagikan kepada 2 bahagian dan remaja-remaja belasan tahun dan golongan dewasa secara beramai-ramai bekerjasama mengawal api.

Bahang api yang sangat panas menyebabkan beberapa rumah terus dijilat api dengan mudah terutamanya rumah berdinding papan. Pada masa ini memang jelas menunjukkan bahawa dinding papan lebih mudah dijilat api dan tempoh api marak yang lama. Dinding daripada "abestos" pula mudah terbakar dan kurang menyebabkan api merebak. Ini kerana dinding ini mudah hancur apabila dijilat api dan tempoh pembakaran yang lebih cepat daripada dinding papan.

"Beduk" (Tabuh) telah dibunyikan semula untuk kali memandangkan tragedi belum lagi diketahui oleh semua warga kampung. Tetapi pukulan kali kedua ini lebih kepada membangunkan warga kampung yang masih lena diulit mimpi indah.

04.00 Pagi
Api masih marak dan makin merebak ke rumah keenam, ketujuh, kelapan, dan kesembilan... pada masa ini aku masih berada di bahagian Selatan (hulu) kawasan kebakaran bersama-sama mengawal api dengan kudrat yang ada. Harapan hanya untuk mengawal api dan rumah yang dikawal ada 2 buah. Sedih melihat hanya sebuah yang selamat (selamat dengan erti kata tidak dijilat api, tetapi dalam rumah habis basah dan berlaku kerosakan kerana pergerakan hampir berpuluh orang keluar masuk membawa air dalam baldi) manakala sebuah lagi bahagian depan rosak teruk. Rujuk gambar di bawah:

Rumah di Sebelah Kiri Rosak Teruk di Bahagian Depan, Rumah di Sebelah Kanan Berlaku Kerosakan Semasa Warga Cuba Mengawal Api.

04.30 Pagi
Kebakaran masih lagi sukar dikawal apabila angin yang bertiup dengan lemah menghala ke bahagian Selatan (hulu) mula-mula beralih ke bahagian Utara (hilir). Angin ini masih lagi dikira kurang memberi kesan kepada selang masa api merebak. Ia cuma mempengaruhi arah api dan kekurangan peralatan (enjin pam air dan hos) menyebabkan 2 buah rumah lagi di bahagian Utara (hilir) semakin dekat dengan api. Dengan kudrat menggunakan air dan baldi, kumpulan berpuluh orang remaja dan dewasa lelaki bertungkus lumus mengawal kebakaran. Secara peribadinya, aku tak nampak peristiwa di bahagian ini kerana aku masih di bahagian Selatan (hulu) dan baju yang basah sempat kering dek bahang api yang memang mencecah takat didih.

2 buah rumah yang terbabit terpaksa dirosakkan (dinding dibuka dengan kudrat tulang empat kerat) dan alhamdulillah... taktik ini berjaya mengawal api daripada memusnahkan rumah terbabit. Ini menjadikan 6 buah rumah terpaksa dibuka dinding bagi mengawal kebakaran yang betul-betul merupakan tragedi yang sudah dianggap sebagai satu musibah yang perlu ditangani awal sebelum berlaku sebarang kebakaran bagi warga Kampung Tian yang mampu berfikir dengan waras. Isu keperluan enjin pam air dan hos yang panjang sudah diutarakan beberapa tahun terkini bagi menggantikan keperluan Balai Bomba yang masih dalam proses menjadikannya realiti.

Rumah di Bahagian Utara (Hilir) yang Terpaksa Dibuka Dinding Papannya Untuk Mengawal Kebakaran

05.00
Kebakaran semakin reda dan penat lelah remaja belasan tahun hingga dewasa 40-an berbaloi dengan keadaan api yang semakin kecil dan dapat dikawal. Aku rasa hampir 80% daripada warga Kampung Tian datang ke kawasan tragedi. Tidak termasuk warga dari kampung lain yang sama-sama datang. Memang 90% kawasan tragedi tidak dapat aku pergi, cuma aku sempat berpusing 360 darjah kawasan tragedi dan merakamkan beberapa video sehinggalah kedatang pihak Bomba dan Penyelamat Mukah sekitar 05.30 Pagi. 

Video-video pendek berikut aku ambil sepanjang 3 jam tragedi dari 3 arah mata angin utama (Timur, Barat, dan Selatan). Layan video ringkas berikut:
(Akan di"embed" selepas selesai upload di Youtube)


Pihak Bomba dan Penyelamat Mukah hanya sampai ke kawasan tragedi sekitar 05.20 Pagi dan mempersoalkan tempoh masa mereka sampai adalah sesuatu yang tidak logik bagi aku. Semua warga Daerah Matu Daro dan sekitar bahagian Mukah mesti dapat membuat agakan masa berdasarkan jarak dan sebagainya. Kedatangan pihak Bomba dan Penyelamat memang secara peribadinya aku sangat hargai dan memang mereka sudah berusaha menunaikan tanggungjawab sebaiknya.

Keadaan ini semua perlu maklum dan keperluan balai bomba memang mendesak. Bagi aku pembinaannya memerlukan kos dan perancangan yang teliti. Aku sudah cukup berpuas hati sekiranya dalam tempoh 5 tahun projek pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Matu Daro dibina. Walau bagaimanapun keperluan enjin pam air dan hos perlu disediakan di setiap kampung. Ibarat kata pepatah "Jika tiada rotan, akar pun berguna juga"

Warga Kampung memberikan sepenuh tenaga dan kudrat dalam tragedi ini bersama-sama. Ia memanng menjadi tradisi dan ianya perlu dibanggakan kerana budaya bekerjasama memang sebati dalam diri warga kampung. Walau bagaimanapun... "ibarat setandan pisang, tidak semuanya baik" memang aku tak nafikan seperti perbualan FB berikut. Itulah yang aku maksudkan sebagai parodi yang tidak sepatutnya dibuat oleh anak jati Kampung Tian sendiri.



Nota:
Talian streamyx dengan kelajuan 1MBps pun masih sukar untuk memuat naik video yang aku rakam dan terpaksa "embed" dari youtube.

Tulisan ne aku kutip dan campur aduk daripada penceritaan rakan2 yang sama-sama terlibat. Siapa yang sampai ke lokasi kejadian dan sempat melihat jam ditangan, hp, atau apa2 sahaja... rujuk anda berada di selang masa mana.

Ramai mangsa yang tinggal sehelai sepinggang dan ini sesuatu yang amat menyedihkan.




2 comments:

  1. sedih,pilu dan masam masam agik perasaan bila menueng kampung telo sidap lau duh... Takziah teng mangsa lebuk sidep. Tuan, info mo dao ateng. lengkap. Samah samah telo mendoakan semoga lo mangsa lebuk sidep di berikan kesabaran.Amin.

    ReplyDelete
  2. Tahniah.. Nuan bak baca lo wak xtao...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...